ISU SEMASA


Potensi besar sektor hartanah

KUALA LUMPUR 24 Mac - Orang Melayu dinasihatkan supaya melibatkan diri dalam sektor pengurusan hartanah kerana ia dapat meningkatkan perkembangan ekonomi kaum tersebut.

Pengurus Reapfield Sdn. Bhd. (Reapfield), Norashikin Kamaruddin berkata, agak mengecewakan apabila sektor yang mampu menjana pendapatan lumayan itu tidak diminati orang Melayu apabila menyamakannya dengan kegiatan broker haram.

"Cuma kira-kira 10 peratus orang Melayu di negara ini menceburi sektor itu yang mencatat jualan hartanah bernilai kira-kira RM100 bilion di negara ini pada tahun lepas," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Persidangan Perniagaan Tahunan Reapfield di sini hari ini.

Jelasnya, sektor yang didominasi oleh kaum lain itu perlu diimbangi dengan penglibatan yang serius oleh orang Melayu supaya ia dapat berkembang dengan lebih pesat.

Sementara itu, Ketua Pemasaran Reapfield, Fatimah Mat Amin berkata, terdapat segelintir orang Melayu yang lebih gemar menjadi broker haram supaya dapat mengaut keuntungan sehingga 10 peratus daripada harga jualan hartanah tersebut.

Menurutnya, broker haram akan bersekongkol dengan peguam bagi menjual hartanah itu menerusi iklan yang ditampal di merata tempat dan di Internet bagi menjerat mangsa.

"Justeru, orang ramai perlu menggunakan khidmat ejen hartanah profesional yang bertauliah bagi mengelakkan daripada ditipu oleh broker-broker haram ini," katanya lagi.


Sumber: www.utusan.com.my

Padah Sindiket Broker Haram Dalam Urusan Hartanah.


Broker tanah dipenjara 5 tahun, denda RM1j

KUALA LUMPUR 23 Dis.2010 – Dua broker tanah tanpa lesen dipenjara lima tahun dan didenda RM1 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas 16 pertuduhan mengubah wang haram berjumlah hampir RM5 juta, tujuh tahun lalu.
Hakim Jagjit Singh menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Gan Kiat Bend, 52, dan Ismail Husin, 59, selepas pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes itu semalam.
Selain itu, hakim tersebut turut memerintahkan Kiat Bend dikenakan denda tambahan RM2.43 juta sebagai bayaran penalti waran levi atau penjara setahun lapan bulan, jika gagal membayar jumlah tersebut dalam tempoh setahun.
Ismail pula dikenakan penalti waran levi RM2.1 juta atau penjara tiga tahun tiga bulan.
Jagjit memerintahkan kesemua hukuman terhadap mereka berkuatkuasa hari ini.
Bagaimanapun, Jagjit membenarkan permohonan peguam Zeffree Zainudin untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara terhadap anak guamnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Jagjit dalam keputusannya menyatakan, beliau mengambil kira jumlah kerugian RM9 juta yang ditanggung oleh mangsa sedangkan tertuduh pertama hanya melabur RM300,000 untuk mendapat keuntungan RM2.5 juta dalam masa beberapa hari.
Katanya, tertuduh kedua pula ternyata mengetahui bahawa wang yang diterimanya adalah hasil aktiviti haram kerana mengarahkan Syed Ahmad memindahkan empat keping cek berjumlah RM2.53 juta ke dalam akaun bank milik isteri dan anaknya sebelum mengambilnya semula selepas itu.
Kiat Bend didakwa atas empat tuduhan pengubahan wang haram dalam empat transaksi berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM2.4 juta di Standard Chartered Bank Malaysia Berhad di No. 2, Jalan Ampang, antara 19 November 2003 dan 5 Januari 2004.
Dalam transaksi itu, dia didapati menerima wang hasil daripada aktiviti haram melalui empat keping cek kepunyaan ahli perniagaan, Syed Ahmad Fauzi Syed Abu Bakar, 40, yang melanggar Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.
Seksyen tersebut memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Ismail pula didakwa atas 12 pertuduhan yang serupa, di tempat yang sama, melibatkan 12 keping cek berasingan milik Syed Ahmad berjumlah RM2.85 juta.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 19 November 2003 dan 13 Januari 2004.
Wang tersebut dipercayai hasil jual beli dua lot tanah dengan nilai RM9 juta.
Kes itu mula dibicarakan pada 15 April lalu dan pendakwaan mengemukakan 25 saksi sementara tiga saksi pembelaan memberikan keterangan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hazril Harun.

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_03.htm 

Mohon bank longgarkan syarat pinjaman

KUALA LUMPUR 11 April  2011 - Persatuan Pemaju Hartanah Melayu Malaysia (PPHMM) berharap agar bank dapat memudahkan syarat pinjaman kepada ahli-ahlinya yang ingin memajukan tanah rizab Melayu.


Presiden PPHMM, Mohd. Wari Mat Zaki berkata, kesukaran mendapatkan pinjaman bank telah menjejaskan kelancaran projek pembangunan di tanah rizab Melayu.
"Kami berharap agar agensi kerajaan yang terlibat dapat membantu memudahkan ahli persatuan mendapat pinjaman dan seterusnya memajukan tanah rizab Melayu untuk membantu orang Melayu menikmati kehidupan yang lebih baik kerana kami dapat menawarkan harga hartanah yang mampu milik khususnya kepada orang Melayu itu sendiri," katanya.


Tanah rizab Melayu yang susut nilai sebanyak 20 peratus telah menyebabkan bank susah untuk meluluskan pinjaman kepada pemaju bumiputera, katanya.
Mohd. Wari berkata, PPHMM menganggarkan nilai pembangunan tanah rizab Melayu sekitar RM5 bilion dan dari jumlah itu RM1 bilion terdapat di sekitar Lembah Klang.


"Nilai yang besar ini dapat diagihkan kepada para pengusaha Bumiputera seperti kontraktor kecil jika bank dapat melonggarkan syarat pinjaman kepada ahli persatuan.


"Jika hal ini dapat direalisasikan, kami mejangkakan dalam masa dua tahun nilai kasar pembangunan yang bernilai RM1 bilion dapat diselesaikan," kata Mohd Wari pada satu sidang media di sini hari ini.


Selain itu, PPHMM juga berharap agar dana dan projek perumahan dari kerajaan dapat diserahkan kepada persatuan supaya persatuan dapat mengagihkan kepada ahli-ahlinya yang layak dan persaingan sihat dapat diamalkan.


"Kami juga mohon agar PPHMM ini dapat diletakkan dibawah seliaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kami dapat bersaing dengan syarikat besar seperti syarikat Kerajaan dan seterusnya dapat memajukan para pemaju Bumiputera," katanya. - BERNAMA



Hartanah naik mendadak?



KUALA LUMPUR 24 Mac - Harga hartanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bakal menyamai Singapura dalam beberapa tahun akan datang sekali gus menjadikan harga rumah kediaman dan komersial naik mendadak.


Pakar Ekonomi JP Morgan Singapura, Ong Sin Beng berkata, kenaikan harga hartanah di kedua-dua lokasi di Malaysia itu berikutan lokasinya, kenaikan harga tanah tanpa kawalan dan terdapatnya pembangunan hartanah mewah di tempat-tempat strategik.
Katanya, daripada segi pasaran, senario itu amat baik kerana mampu menjana ekonomi tetapi menyukarkan golongan berpendapatan pertengahan memiliki hartanah yang harganya sebegitu mahal.


"Persoalan kini kenaikan harga hartanah yang mendadak menyempitkan lagi peluang kepada golongan tertentu untuk membelinya tetapi tidak bagi golongan kaya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam forum anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) sempena Laporan Tahunan Bank Negara di sini hari ini.


Turut hadir ialah Penolong Gabenor Bank Negara, Dr. Sukhdave Singh dan Presiden MEA, Tan Sri Mohd. Sherif Mohd. Kassim.


Menurut Sin Beng, beliau menjangkakan dalam beberapa tahun lagi, harga hartanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang akan menyamai harga di Singapura.
Malah katanya, dari maklumat yang diperolehi, harga hartanah di Pulau Pinang telah pun hampir menyamai harga di Singapura.


Dalam pada itu, Dr. Subramianim Pillay dari MEA yakin terhadap unjuran ekonomi Malaysia bagi 2011 dan 2012.


Beliau berkata, Malaysia bergantung besar terhadap pelaburan tempatan dan apa yang berlaku di Jepun hanya merupakan gangguan sementara.


Katanya, syarikat-syarikat Jepun mungkin meningkatkan pengeluaran di kilang tempatannya berikutan kemudahannya di Jepun tidak dapat beroperasi.


"Dalam tempoh tiga bulan, kedudukan ekonomi dunia mungkin meningkat apabila Jepun mula membangunkan semula infrastrukturnya yang musnah, merangsang permintaan untuk bahan mentah," katanya.


Tambah Subramaniam, kebergantungan ekonomi kepada Jepun mungkin menjejaskan sedikit ekonomi negara namun beliau percaya negara matahari terbit itu akan bangkit dalam beberapa bulan akan datang.


Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0325&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm&arc=hive